Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara merupakan cubaan kedua mendaratkan kereta di Kutub Utara selepas kali pertama dilakukan oleh Volkswagon sebelum ini. Penerjunan itu turut membabitkan kereta nasional-Proton Wira 1.5 atau dikenali Proton Vantus untuk pasaran Russia. Sebanyak tiga payung terjun digunakan yang mempunyai ukur lilit 30 meter setiap satu, manakala dua lagi bersaiz kecil sebagai pengimbang pelantar berkenaan. Sebagai langkah keselamatan, badan kereta itu dipasang jaring bagi memastikan pelantar didaratkan dengan selamat dan tidak merosakkan kenderaan. Proton Wira itu pula dihiasi oleh Jalur Gemilang di bumbungnya bagi menggambarkan imej negara.









