Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir berjaya melalui ekspedisi 1,100 kilometer menawan Antartika, Kutub Selatan. Sharifah yang juga pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM memulakan ekspedisi merentasi Antartika dengan kaedah ski sailing selama 22 hari bermula dari Kutub Selatan sehingga melepasi garisan penamat di Hercules Inlet pada 29 Disember 2004. Kecederaan serius pada lututnya pada suatu ketika tidak menghalang beliau menyempurnakan impian seluruh rakyat Malaysia untuk melihat kejayaannya. Kejayaan itu lebih manis apabila pihak Ekspedisi dan Logistik Antartika (ALE), mengiktiraf kejayaan beliau memecahkan rekod 24 hari yang dicatat sebelum ini.









